Wednesday, 28 November 2012

Dompok gesa graduan rebut kerja sektor ladang

Peluang luas bahagian pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan

KOTA KINABALU: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, menasihati graduan yang masih menganggur di negeri Sabah supaya merebut peluang membina kerjaya di sektor perladangan komoditi.
Beliau berkata, ini kerana, kerjaya di sektor ini tidak hanya terhad kepada kerja buruh tetapi mempunyai jawatan lain termasuk bahagian pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan.
Kerjaya di sektor ini tidak hanya terhad kepada kerja buruh tetapi mempunyai jawatan lain termasuk bahagian pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan. - Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
“Banyak kekosongan kerja dalam sektor perladangan bagi graduan yang memiliki ijazah, diploma atau sijil, kerana bukan semua kerja di sektor perladangan kerja buruh.

“Oleh itu saya berharap graduan yang belum mempunyai pekerjaan merebut peluang yang ada dalam bidang perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemberian Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada sembilan pelajar baru ijazah pertama dan penyerahan sumbangan kepada 19 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah kawasan Parlimen Penampang, dekat sini, baru-baru ini.

Dompok berkata, tujuan kerajaan memberikan pinjaman pendidikan adalah untuk membolehkan pelajar meneruskan pengajian ke peringkat tinggi agar menjadi modal insan berkualiti bagi membantu pembangunan negara. 
“Ini adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk meningkatkan sumber manusia terlatih yang dapat menyumbang kepada perkhidmatan lebih berkualiti kepada pembangunan negara.

Dalam perniagaan, pelabur hanya datang ke sesebuah negara jika ada pekerja mahir. Oleh itu pelajar seharusnya memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang,” katanya. 

Sektor Perikanan Wilayah Tengah guna B5


TAN Sri Bernard Dompok semasa melancar penggunaan B5 kepada Sektor Perikanan. Turut kelihatan Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim (kiri) dan Datuk Dr Choo Yuen May (tiga dari kanan).
TAN Sri Bernard Dompok semasa melancar penggunaan B5 kepada Sektor Perikanan. Turut kelihatan Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim (kiri) dan Datuk Dr Choo Yuen May (tiga dari kanan).
TANJUNG KARANG: Sektor Perikanan Wilayah Tengah mula menggunakan bio bahan api B5 (adunan 5 peratus metil ester sawit dengan 95 peratus diesel petroleum) bersubsidi untuk kegunaan bot menangkap ikan dengan pelancaran penggunaannya disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok di Jeti Bagan Pasir, Tanjung Karang, Selangor baru baru ini. 

Pelancaran penggunaan B5 sektor perikanan itu dilaksanakan berikutan kejayaan pelaksanaan Program B5 untuk sektor pengangkutan darat di stesen minyak runcit Wilayah Tengah yang dilancarkan dan dikuatkuasakan penggunaan sejak Jun 2011.
Tan Sri Bernard Dompok, semasa merasmikan Majlis Pelancaran Penggunaan B5 untuk Sektor Perikanan itu berkata, Kerajaan bersetuju memperluaskan pelaksanaan penggunaan B5 untuk semua sektor bersubsidi di Wilayah Tengah termasuk sektor perikanan, skid tank dan fleetcard bermula pada 15 Februari 2012.
Pelancaran Program B5 sektor perikanan itu menandakan pelaksanaan penggunaan bio bahan api B5 di sektor bersubsidi secara menyeluruh di Wilayah Tengah yang meliputi negeri Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. 

Beliau berkata, Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan Program B5 sepenuhnya di seluruh negara selewat-lewatnya pada 2014. 

Penggunaan bio bahan api berasas sawit berupaya meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan menjadi mekanisme bagi menstabilkan harga minyak sawit di pasaran dunia. 

“Dengan pengeluaran minyak sawit negara mencecah 19 juta tan pada 2011, bekalan minyak sawit untuk Program B5 adalah mencukupi dan berkesan untuk menyerap lebihan pengeluaran serta tidak menjejaskan untuk bekalan kepada sektor makanan.” 
“Saya suka memberi jaminan bahawa minyak B5 adalah selamat digunakan untuk enjin bot. Syarikat pengeluar enjin dan syarikat petroleum juga bersetuju untuk memberikan ‘engine warranty’ bagi penggunaan bio bahan api B5,” katanya. 

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, Program B5 adalah satu strategi ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyumbang kepada alam sekitar yang lebih bersih. 

“Kerajaan melalui MPOB mengadakan projek percubaan penggunaan B5 kepada bot Persatuan Nelayan Kawasan, Bagan Pasir, Tanjung Karang dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Projek ini mengambil masa dua bulan dengan membabitkan penggunaan 30,000 liter minyak B5. 

“Hasil kajian projek percubaan itu mendapati bot berkenaan kurang membebaskan asap hitam, kurang ketukan pada enjin, kuasa enjin dan kadar penggunaan B5 adalah sama dengan penggunaan diesel biasa dan tiada kesan negatif kepada enjin. 

Beliau berkata, pelaksanaan Program B5 bagi sektor selain pengangkutan darat akan membabitkan penggunaan sebanyak 33,313 tan atau 39 juta liter biodiesel setahun. Ini akan menyumbang kepada penjimatan penggunaan diesel sebanyak 26,358 tan atau 30.51 juta liter setahun bagi sektor fleetcard, 4,985 tan atau 5.77 juta liter setahun bagi sektor perikanan dan 1,970 tan atau 2.28 juta liter setahun sektor skid tank. 

“Pada 2011, pelaksanaan Program B5 di Wilayah Tengah bagi sektor pengangkutan darat telah menyumbang kepada peningkatan sebanyak 48 peratus dalam pengeluaran biodiesel negara, di mana sebanyak 173,220 tan dikeluarkan berbanding 117,173 tan pada 2010. 

“Bilangan kilang biodiesel yang beroperasi juga meningkat daripada 11 buah kilang pada tahun 2010 kepada 12 kilang pada 2011,” katanya. 

Peneroka dapat durian runtuh


Dato’ Seri Utama Shahrir menyampaikan cek bayaran SITS kepada Pengurus Rancangan FELDA Ulu Penggeli. Turut
kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Ahmad Sidek Stroo (kiri).
Dato’ Seri Utama Shahrir menyampaikan cek bayaran SITS kepada Pengurus Rancangan FELDA Ulu Penggeli. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Ahmad Sidek Stroo (kiri).
KLUANG: Peneroka dari enam Rancangan FELDA di Johor, iaitu Felda Ulu Penggeli, Ulu Dengar, Inas Utara, Taib Andak, Bukit Permai dan Sri Ledang menerima cek bayaran rayuan Skim Insentif Tanam Semula (SITS). 

Cek bayaran disampaikan Pengerusi MPOB, Dato’ Seri Utama Shahrir Abdul Samad di Dewan Semai Bakti FELDA Ulu Penggeli baru baru ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah MPOB (Perkhidmatan), Ahmad Sidek Stroo.
Shahrir ketika berucap pada majlis penyampaian cek berkata, insentif ini bertujuan menggalakkan pekebun kecil menebang pokok sawit tua bagi menanam dengan benih berpenghasilan tinggi.
Bantuan SITS yang disalurkan kerajaan melalui MPOB menyediakan bayaran RM1,000 sehektar untuk tempoh 1 Disember 2008 hingga Jun 2009 kepada penanam sawit yang menebang pokok sawit tua. 

Memandangkan terdapat penanam yang menebang di luar tempoh itu tidak layak menerima SITS, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama MPOB menerima banyak rayuan daripada penanam sawit termasuk peneroka Felda. 

“Atas dasar ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersetuju meluluskan permohonan rayuan skim itu terutama daripada pekebun kecil dan peneroka FELDA, termasuk penerima cek bayaran pada hari ini,” kata Shahrir. 

Shahrir berkata, kerajaan melalui MPOB sedang giat melaksanakan pelbagai langkah memajukan untuk meningkatkan produktiviti industri sawit bagi menjana pendapatan kepada ekonomi negara. 
Di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kerajaan mengenalpasti industri sawit sebagai salah satu Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA). 

Sebanyak lapan projek permulaan (EPP) dikenal pasti merangkumi sektor huluan dan hiliran industri sawit dilaksanakan untuk tujuan itu. Kerajaan menyasarkan industri sawit berupaya menjana RM178 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara menjelang 2020 berbanding RM52.7 bilion pada 2009. 

Pada majlis itu juga, Shahrir menyerahkan mesin penuai buah sawit bermotor (Cantas) kepada penanam sawit yang diluluskan pembelian melalui Skim Diskaun Cantas (SKIDIC). 

Pembeli yang diluluskan SKIDIC mendapat potongan harga sebanyak RM1,000 bagi setiap unit Cantas yang dibeli. 

Shahrir menggesa semua pekebun kecil mengambil peluang membeli Cantas pada harga diskaun yang ditawarkan. 

Tiru 5 Prinsip Neil Patel, Jadi Jutawan Internet


Dalam Seminar SEO anjuran tim Majalah Niaga, kami ada menyebut tentang seorang ikon usahawan Internet dan juga pakar dalam pemasaran SEO.
Neil Patel - Pengasas Crazy Eggs
Beliau adalah pengasas dua laman web iaitu CrazyEgg dan KissMetrics. Di mana kedua-dua laman web ini menyediakan servis untuk membantu perniagaan lain membawa lebih banyak keuntungan dan pelawat.
Ya, Neil Patel juga adalah seorang jutawan Internet.
Sebelum berbicara mengenai rahsia dalam diri Neil Patel, kita dapat lihat mereka yang bergelar ‘usahawan Internet’ di Malaysia wujud dengan begitu pantas. Ini adalah signal yang baik dari sudut ekonomi.

3 Poin Bunuh Kekayaan Usahawan Internet

Namun begitu, golongan usahawan Internet yang baru bertapak ini kebanyakannya tidak mempunyai idea bagaimana untuk membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Rugi Dalam Perniagaan Internet
Kejadian ini berlaku akibat daripada 3 poin penting ini:
Pertama, Saya Rasa Saya Sudah Tahu Semua
Ilmu tidak pernah habis dan tidak sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Sebelum ini, pemasaran forum mungkin menjadi senjata utama pemasaran.
Namun kewujudan laman sosial telah membuatkan orang ramai beralih arah ke pemasaran Facebook, Twitter dan banyak lagi.
Bagaimana untuk kita tahu perkembangan ini? Sertai mana-mana seminar yang dianjurkan oleh usahawan Internet lain. Bisnes kita mungkin lebih menguntungkan jika dibandingkan mereka.
Tetapi ilmu yang mereka ada mungkin dapat memberikan idea baru kepada kita untuk meningkatkan keuntungan perniagaan.
Kedua, Saya Terlalu Sibuk
Sibuk menjalankan bisnes merupakan satu daripada sebab para usahawan Internet tidak mempunyai masa untuk menuntut ilmu.
Apa yang boleh dilakukan di sini adalah menyusun semula jadual perniagaan kita. Ketepikan alasan sibuk dan mula mencari masa yang sesuai untuk belajar dengan usahawan Internet yang lebih maju daripada kita.
Ketiga, Saya Malu Bertanya
Pepatah Melayu ada menyebut,
“Malu bertanya sesat jalan.”
Sesat jalan bisnes kerugian. Bagi usahawan Internet yang masih baru, jadikan ‘soalan’ sebagai satu peluang untuk kita mendapatkan jawapan-jawapan yang bernas daripada usahawan Internet di sekeliling kita.
Setiap soalan berkemungkinan besar dapat memberikan jawapan yang kita cari.

Tiru Cara Neil Patel Bangunkan Bisnes Internet

Berbalik semula kepada pengasas CrazyEggs dan KissMetrics ini. Berikut adalah 5 prinsip perniagaan Neil Patel yang boleh kita tiru.
Rahsia Jutawan Neil Patel
Tiru dan jadi jutawan Internet seperti beliau dalam masa beberapa tahun dari sekarang.
#1 – Buat Duit Secepat Mungkin
Dalam perniagaan, duit adalah udara untuk mengizinkan perniagaan kita terus bernafas. Pentingnya untuk memperoleh duit dalam masa yang singkat selepas kita membuat keputusan untukmembangunkan sebuah perniagaan.
Dalam kes KissMetrics, Neil Patel berjaya membawa keuntungan pada hari pertama ia mula beroperasi.
#2 – Blog Sebagai Pemikat Pelanggan
Apabila bercakap mengenai blog, ia adalah blog berbayar iaitu menggunakan domain (dot) com sendiri.
Blog adalah senjata jualan yang dipraktis oleh Neil Patel untuk kedua-dua bisnesnya. Menurut beliau, dengan hanya fokus pada blogging, keuntungannya berlipat kali ganda.
Blog adalah alat pemasaran berkos rendah. Maklumat yang boleh diterbitkan di blog adalah seperti berikut:
  • Cara penggunaan produk kita.
  • Diari semasa perniagaan.
  • Penerbitan testimonial-testimonial pelanggan.
#3 – Berani Untuk Keluar Duit
Keluar duit untuk pengiklanan. Kelebihan pengiklanan adalah kita dapat memperkenalkan produk kita kepada ramai orang. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam golongan pasaran tentang kewujudan bisnes kita.
Jangan takut untuk melaburkan duit ke saluran pengiklanan. Walaupun ia mahal, tetapi pengiklanan membawa keuntungan jangka masa panjang.
#4 – Bina Pasukan, Maju Ke Hadapan
Jangan buat duit dan bina bisnes seorang diri. Rezeki dikurniakan Tuhan adalah untuk hak orang ramai. Bina pasukan perniagaan apabila berkemampuan.
Kerja Berpasukan
Pasukan yang hebat juga mampu meledakkan perniagaan kita ke satu tahap yang lebih baik dalam masa yang singkat. Kenapa perlu bangunkan perniagaan seorang diri sedangkan kita berpeluang untuk menyatukan 10 orang ke dalam bisnes?
#5 – Elemen Personal Kepada Pelanggan
“Saya sendiri menjawab e-mel pelanggan walaupun mereka minta nasihat perniagaan. Semuanya percuma dan semuanya mempunyai elemen personal.” – Neil Patel.
Buat pelanggan jatuh cinta dengan bisnes kita. Cara paling mudah adalah menjawab setiap soalan mereka dari pelbagai medium. Antaranya adalah e-mel atau Facebook. Bantu mereka tanpa perlu caj.
Aktiviti ini bukan sahaja baik untuk keuntungan bisnes. Malah ia mengukuhkan jenama kita di mata pelanggan.
Selepas membaca artikel ini, mana satu tip jutawan Internet ini yang mudah dipraktikkan oleh tuan puan? Kongsikan dalam ruangan komen di bawah.
Kredit: CNN, Founder Tips.

Monday, 26 November 2012

Buat Duit Dengan YouTube


Tahukah anda bahawa ramai yang telah berjaya menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit dengan hanya memulakan sesuatu yang kreatif dan memuat naik hasil karya mereka di YouTube? Apabila kita menyebut tentang kreativiti, peluang untuk berkarya adalah sangat luas kerana tahap dan bentuk kreativiti antara seoarng individu dengan yang lain adalah berbeza. Peluang untuk berkarya dan memaparkan kreativiti anda di internet adalah bak kata pepatah “Tak terjangkau dek akal” atau “Bak dalam dan luasnya lautan yang tak bertepi”. Cuba bayangkan berapa ramai penduduk di seluruh dunia yang mempunyai komputer dan kemudahan internet di rumah ataupun di tempat awam yang berdekatan dengan mereka.
Jumlah penduduk dunia setakat bulan Julai 2011 ialah 6.97 bilion seperti yang dilaporkan oleh United States Census Bureau. Statistik yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan YouTube pula menunjukkan bahawa setakat bulan May 2011,YouTube telah merekodkan kekerapan tontonan sebanyak lebih 3 bilion dalam satu hari! Satu jumlah yang amat besar. 99% daripada tontonan tersebut adalah merujuk kepada tontonan video yang dimuat naik oleh sesiapa sahaja ke lamanYouTube.
Mengikut statistik ini, peluang untuk seseorang menjana pendapatan melalui laman webYouTube amatlah besar. Tetapi anda perlu ingat beberapa perkara penting sebelum memulakan niat anda untuk memaparkan video anda di lamanYouTube. Anda perlu ingat bahawa anda akan dibayar oleh YouTube setelah anda diterima menjadi rakan kongsiYouTube (YouTube Partner). Awas! YouTube tidak akan membayar anda jika kandungan video atau fail bukan dihasilkan oleh anda sendiri. Jika ia adalah hasil kerja orang lain, anda perlu menunjukkan bukti kepada YouTubekebenaran telah diberikan kepada anda oleh pemilik fail atau video tersebut. Jika video atau fail anda mengandungi gambar orang lain, anda juga perlu mendapat kebenaran untuk memaparkannya di laman YouTube. Suatu video atau fail tidak boleh mengandungi gambar yang tidak sesuai bagi tontonan kanak-kanak.
Satu contoh yang boleh anda ambil ialah mengenai Justin Bieber yang sekarang ini tersohor kerana video nyanyiannya yang dipaparkan di YouTube. Justin Bieber sebenarnya tidak menjana pendapatan dari YouTube tetapi menggunakanYouTube hanya sebagai landasan untuk menempah nama di dunia muzik dan hiburan. Ini adalah kerana video yang beliau hasilkan mengandungi lagu yang sedia ada tetapi beliau sebenarnya tidak mendapat kebenaran untuk menyiarkannnya di YouTube.
Langkah-langkah yang perlu untuk memulakan usaha anda menjana wang melalui YouTube:
Langkah 1: Hasilkan video yang menarik !
Anda perlu mempunyai perakam video yang bagus supaya kualiti video yang anda rakam dapat dihasilkan dengan baik. Ide yang kreatif akan menjadikan video anda kerap ditonton. Kebanyakan orang akan merekod aksi dan gelagat binatang kesayanagn kerana mreka tidak perlu meminta kebenaran untuk menyiarkan video tersebut di laman YouTube.Anda perlu ingat, tanpa kebenaran YouTube tidak akan memasukkan video anda ke dalam program untuk menjana pendapatan daripada iklan-iklan. Selepas rakaman, anda perlu membuat suntingan supaya tempoh video yang siap tidak terlalu panjang. Pada kebiasaannya, tempoh video yang selalu di muat naik ke YouTube adalah tidak melebihi 4 minit. Anda juga perlu berhati-hati dengan proses memasukkan audio supaya suara atau muzik latar dan gambar yang dipaparkan adalah seiring.
Langkah 2: Cipta nama yang canggih dan mudah diingati
Sementara menunggu video anda dipaparkan, carilah nama yang mudah diingati serta menarik untuk diberikan kepada video hasil kerja anda. Selalunya nama akan diberi selari dengan kandungan atau jalan cerita video anda. Contoh nama yang masyhur di YouTubeialah “Sneezing Panda” yang merakamkan aksi dan gelagat seekor beruang Panda sedang bersin.
Langkah 3: Ulang langkah 1 dan langkah 2
Jika anda mahu berjaya seperti rakan kongsi YouTubePhilipDeFranco dan lain-lain, anda perlu rajin dan tahu bagaimana anda boleh menyebarkan dan membuat pemasaran tentang video anda supaya ramai yang layari YouTubeuntuk menonton video anda. Anda boleh memasarkannya di Facebook, forum dan laman web yang lain.
Jika anda ingin menjadi rakan kongsi YouTube, anda mesti sentiasa memuat naik video yang ditonton oleh ramai pelanggan YouTube. Jangan putus asa. Teruskan merakam dan teruskan usaha untuk membuat sebaran dan pemasaran.
Langkah 4: Semak emel anda !
Pihak YouTube akan menghubungi anda melalui emel jika video anda mendapat sambutan ramai. YouTube akan mengundang anda untuk membuat permohonan berkongsi pendapatan untuk video anda yang dipilih oleh YouTube. Apabila kelulusan diberi, anda akan mula menjana pendapatan untuk video yang terpilih itu.
Langkah 5: Membuat permohonan melalui program rakan kongsi YouTube
Jika anda sudah mempunyai jumlah video yang dimuat naik dan ditonton yang mencukupi mengikut kiraan pihakYoutube, anda boleh membuat permohonan secara langsung untuk menjadi rakan kongsi di bawah program rakan kongsi YouTube. Apabila pihak YouTubemeluluskan permohonan anda, perkongsian pendapatan daripada paparan semua video anda akan bermula. Proses perkongsian pendapatan akan berterusan selagi video anda tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Anda juga boleh menambah pendapatan dengan menyewa video anda kepada golongan yang berminat.
Langkah 5: Mulakan proses permohonan
Anda harus membaca dokumen panduan tentang program rakan kongsi YouTube. Pastikan anda tidak melanggar mana-mana syarat dan undang-undang yang ditetapkan.
Anda tidak akan dibenarkan membuat permohonan seterusnya selama 2 bulan jika YouTube tidak meluluskan permohonan anda.
Langkah 6: Buka akaun dengan Google AdSense
Setelah anda sudah menyemak dan betul-betul faham akan syarat dan undang-undang tersebut, anda perlukan akaun di dalam Google AdSense untuk menghubungkan akaun YouTube anda. Hubungan inilah yang akan membolehkan bayaran dikira dan dibuat kepada anda terhadap video yang terpilih.
Walaubagaimanapun, wang yang anda boleh keluarkan daripada akaun anda ialah apabila akaun anda sudah mempunyai baki lebih daripada USD$100. Oleh itu, jika lebih banyak video yang menarik anda paparkan dan lebih banyak ditonton orang, lebih banyak bayaran yang akan terima bagi membolehkan anda membuat penegeluaran.
Langkah 7: Tempoh menunggu untuk YouTube memproses permohonan
YouTube akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu untuk menilai dan menentukan samada video anda akan diterima atau tidak. Anda tidak perlu membuat apa-apa selama waktu ini atau jika anda tidak mahu membuang masa, anda boleh juga terus berkarya! Siapkan rakaman video seterusnya.
Langkah 8 : Mulalah buat duit !
Sebaik sahaja permohonan anda diluluskan, anda akan dibenarkan menayangkan segala iklan yang keluar dibahagian bawah video anda. Terdapat juga iklan banner yang muncul dibahagian tepi video atau sesetengah iklan yang akan dimasukkan secara pantas dibahagian hadapan video anda sebagai pengenalan dan sebagainya.
Langkah 9: Ulang langkah 1
Jika permohonan anda tidak diluluskan, anda bermungkinan besar tidak mengikut salah satu langkah yang disebutkan di atas. Oleh kerana anda akan diberi tempoh selama 2 bulan sebelum permohonan baru boleh dikemukakan kepada pihak YouTube, anda dinasihatkan supaya mengulangi langkah-langkah tersebut dengan lebih teliti. Undang-undang dan syarat-syarat yang dikenakan mestilah diikuti dengan betul.
Ramai yang berjaya menjana pendapatan di YouTube adalah mereka yang rajin dan teliti serta patuh kepada langkah-langkah yang diberi.
Jika anda mendapat lebih dari 5 juta komen atau 20 juta tontonan dalam masa satu bulan, pihak Google Adsense akan menghantar jemputan khas kepada anda untuk menjadi salah seorang rakan di dalam program Premium Publisher. Program ini adalah program khas dan ianya akan dibuka kepada sesiapa yang layak atas jemputan khas sahaja.
Cara tersebut yang dibincang secara terperinci adalah bagaimana anda menjana pendapatan melalui YouTube dan menjadi rakan kongsi YouTube. Ada beberapa cara lain yang juga dikaitkan dengan menjana pendapatan di YouTubeyang anda boleh mulakan. Antara lain ialah membuat wang dengan menyertai program Affiliatecontohnya Affiliate Clickbank atau Affilliate tempatan.
Affiliate Clickbank adalah organisasi yang menjadi pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan program Affiliateberpusat atau gedung bagi pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan sesuatu syarikat atau individu yang menggunakan perkhidmatan mereka. Anda boleh menyertai program Affiliate Clickbank secara percuma dan anda akan dikenakan yuran yang tertentu apabila produk atau khidmat anda dilanggani. Affiliate Clickbank merupakan pusat yang akan menguruskan segala transaksi dari segi pengiklanan sehinggalah membuat pembayaran kepada anda.
Anda boleh mencuba untuk menyertai program Affiliate tempatan. Kaedah yang digunakan adalah sama seperti kaedah yang digunakan oleh program Affiliate clickbank tetapi sesuai dengan namanya, program Affiliate tempatan hanya akan membolehkan transaksi sekitar dalam negara sahaja. Oleh itu peluang untuk anda membuat duit melalui kaedah ini adalah terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Jika anda seorang yang baru hendak bermula, cara ini mungkin boleh anda sertai sebagai landasan sebelum melonjak ke tahap yang lebih jauh seperti menempah nama di persada antarabangsa!
Salah satu lagi cara untuk menjana pendapatan melalui YouTubeialah dengan cara memuat naik video atau membuat hubungan dengan video yang dipaparkan di YouTube ke laman web atau blog anda sendiri. Anda harus bijak menilai video yang hendak dihubungkaitkan dengan blog atau laman web anda. Cara ini boleh anda gunakan jika anda memang mempunyai produk atau perkhidmatan yang ingin anda jual samada di dalam negara mahupun ke pasaran luar negara. Apabila anda meletakkan video yang memang mendapat tontonan yang banyak di YouTube, dengan secara tidak langsung laman web atau blog anda akan dapat dijejaki oleh penonton dan sekaligus akan menarik perhatian mereka kepada produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan. Dalam erti kata lain, video-video yang mendapat tontonan yang banyak di YouTube ini menjadi satu cara pengiklanan yang anda aplikasikan di laman web atau blog perniagaan anda. Walaubagaimanapun, anda perlu membuat penilaian yang betul sebelum meletakkan video-video tersebut dilaman web atau blog anda supaya ianya bersesuaian dengan tema atau jenis produk yang anda jual. Jika sebaliknya, penonton atau bakal pelanggan akan menjadi keliru dan tidak dapat memahami bahawa tujuan anda sebenarnya adalah untuk menjual produk anda bukannya untuk memaparkan video tersebut semata-mata.
Kesimpulannya, walau apa cara sekalipun yang akan anda cuba untuk membuat duit di YouTube atau melalui YouTube,anda harus tahu matlamat sendiri dan perlu kreatif dalam menghasilkan apa jua produk, video atau perkhidmatan. Peluang yang terbentang luas perlu direnangi dengan bijak supaya anda tidak terus tenggelam di dasar.

Tabung Ekonomi Belia



Tabung Ekonomi Belia diletakkan di bawah Kumpulan Wang Amanah Ekonomi Belia dan diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Tabung ini bermatlamat untuk memberi bantuan berbentuk pinjaman perniagaan kepada golongan belia. Kementerian Belia dan Sukan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dana pinjaman serta melantik institusi kewangan sebagai pengurus dana yang bertanggungjawab untuk memproses, mengeluarkan pinjaman dan membuat kutipan semula.
Kelayakan dan Syarat Pinjaman
Golongan belia yang layak untuk mendapat kemudahan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Belia adalah seperti berikut:
  • Warganegara yang menetap di Malaysia dan berumur antara 18 – 40 tahun. Minima umur pemohon adalah 18 tahun dan maksima sebelum mencapai umur 41 tahun semasa mendaftar secara atas talian ataupun manual
  • Telah mendaftar sebagai pemohon sama ada pendaftaran secara atas talian melalui laman sesawang portal Majlis Penggalakan Ekonomi Belia atau mengisi borang secara manual.
  • Telah lulus saringan Kementerian Belia dan Sukan bagi :
  1. Ujian Minat Kerjaya dan Kecenderungan Keusahawanan
  2. Kursus Asas Perniagaan khusus bagi pemohon yang baru memulakan perniagaan
  3. Kursus Bimbingan Rancangan Perniagaan
  • Tujuan permohonan adalah untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.
  • Permohonan pinjaman adalah secara individu dan perniagaan dijalankan secara sepenuh masa.
  • Hanya seorang sahaja di antara suami atau isteri yang layak pada bila-bila masa untuk memohon pinjaman.
  • Setiap peminjam mestilah bebas dan bersih dari tindakan undang-undang atau perhutangan
  • Mengemukakan dua 2 orang penjamin. Syarat-syarat penjamin adalah seperti berikut :
  1. Penjamin digalakkan daripada kalangan ahli keluarga.
  2. Setiap penjamin mempunyai pendapatan tetap termasuk elaun-elaun tetap dengan syarat tidak kurang daripada RM 1000.00 sebulan.
  3. Tidak mempunyai rekod tindakan yang berkaitan dengan perhutangan atau seumpamanya.
  4. Semua pegawai dan kakitangan yang sedang berkhidmat dengan Kementerian Belia dan Sukan adalah tidak layak menjadi penjamin
  5. Seseorang yang layak untuk menjadi penjamin tidak boleh menjamin lebih dari dua 2 orang peminjam dalam satu-satu masa.
  • Borang permohonan yang lengkap dan kertas kerja mestilah dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan melalui institusi kewangan yang dilantik.
  • Hanya satu pinjaman Skim Belia Negara atau SBT sahaja dibenarkan pada satu-satu masa.

Bagi pemohon yang telah lulus ujian saringan, dan mempuyai ciri-ciri berikut adalah dikecualikan daripada mengikuti kursus bimbingan rancangan perniagaan.
  1. Telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya 6 bulan dan mempunyai sijil yang berkaitan. Maka, tidak perlu untuk mengikuti kursus dan layak memohon pinjaman.
  2. Telah mengikuti Kursus Rancangan Perniagaan atau berkaitan yang dianjurkan oleh Akademi Pembangunan Belia Malaysia (Keusahawanan), di Batu Gajah Perak di bawah Kementerian Belia dan Sukan atau mana-mana agensi kerajaan dan swasta yang diiktiraf.
  3. Lulusan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) atau Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan telah menjalankan perniagaan yang berkaitan.
  4. Mempunyai kelulusan peringkat diploma atau ijazah dan telah menjalankan perniagaan dalam bidang berkaitan atau mempunyai kelulusan peringkat diploma atau ijazah dalam bidang perniagaan dan telah menjalankan perniagaan.
  5. Telah mengikuti program inkubator anjuran oleh mana-mana agensi kerajaan.
Syarat-syarat yang ditetapkan ini bertujuan untuk memastikan mereka yang mahu mendapatkan pinjaman benar-benar serius untuk menjalankan sebarang aktiviti perniagaan apabila pihak Kementerian Belia dan Sukan memberi kelulusan. Kesemua syarat-syarat ini digariskan juga untuk memastikan golongan belia yang layak benar-benar boleh memberi pulangan yang berbaloi dengan bantuan melalui Tabung Ekonomi Belia yang telah diberikan.
Jenis dan Ciri-Ciri Skim
1.0 Skim Belia Niaga (SBN)
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia telah dilantik sebagai institusi kewangan bagi menyelia Skim Belia Negara ini. Skop projek yang dibenarkan dibawah skim ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:
  • Perkhidmatan
  1. Kedai gunting rambut
  2. Salun kecantikan dan spa
  3. Klinik
  4. Farmasi
  5. Perlancongan
  6. Kedai runcit
  7. Mencuci kenderaan
  8. Solekan dan andaman
  9. Bengkel kenderaan motor dan motosikal
  10. Fotografi dan video
  11. Kimpalan
  12. Membaiki radio, televisyen, telefon bimbit dan alat elektronik
  13. Pusat tuisyen
  14. Kedai makan dan restoran
  15. Pengiklanan dan percetakan
  16. Perkhidmatan profesional
  17. Kedai elektrik
  18. Kedai perabot
  19. Kedai tayar
  20. Kedai alat ganti

  • Pembuatan
  1. Kraf tangan
  2. Pakaian
  3. Anyaman dan produk warisan seperti labu sayung, tembaga dan batik

  • Perniagaan ICT
  1. Kedai internet dan pusat latihan
  2. Kedai fotokopi, alat tulis dan pembayaran bil

  • Kiosk atau Gerai atau Pasar Malam atau Penjaja
  1. Burger
  2. Yong Tau Fu
  3. Jagung
  4. Ais krim serta van atau lori atau motor bergerak
  5. Stokis dan francais dengan tidak termasuk kos pembiayaan untuk membeli premis perniagaan serta modal kerja untuk kontraktor
  6. Perniagaan berkonsepkan jualan langsung

2.0 Skim Belia Tani (SBT)
Bagi Skim Belia Tani pula, Kementerian Belia dan Sukan telah melantik Bank Pertanian Malaysia sebagai pengurus dana yang bertanggungjawab untuk memberi pembiayaan melalui skim ini. SBT dikhususkan untuk apa-apa aktiviti atau perniagaan yang berorientasikan pertanian. Ini bertujuan untuk membuka minat golongan belia supaya menceburi bidang pertanian selaras dengan hasrat mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dahulu yang memperkenalkan konsep pertanian suatu perniagaan. Maka, pihak kerajaan mengambil inisiatif ini untuk memastikan golongan belia diberi peluang memajukan sektor pertanian negara.
Antara skop projek di bawah Skim Belia Tani adalah :
  • Pengeluaran tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran, bauh-buahan, bunga-bungaan dan juga herba.
  • Ternakan haiwan seperti lembu pedaging, lembu tenusu, kambing pedaging, kambing tenusu, biri-biri dan ternakan puyuh .
  • Perikanan iaitu ternakan air tawar dan ternakan udang dalam kolam atau sangkar.
  • Ternakan lebah madu dan industri asas tani iaitu seperti kek, pastri, roti, biskut, makanan sejuk beku, makanan berproses seperti jeruk, sos, kicap, makanan tradisional seperti baulu dan kerepek dan makanan ringan atau snek.
  • Perkhidmatan tani yang meliputi bengkel jentera pertanian, kedai racun kawalan musuh dan perosak termasuk baja dan alat pertanian, perkhidmatan profesional, sewaan jentera pertanian, nurseri bunga-bungaan, buah-buahan dan lanskap.
Perkhidmatan tani ini adalah tidak termasuk pembiayaan untuk tanaman kekal seperti getah, kelapa sawit, kelapa, buah-buahan seperti durian, rambutan, cempedak dan buah-buahan tempatan yang lain juga kos untuk membeli tanah dan premis perniagaan, modal kerja untuk kontrak tani dan apa-apa perniagaan berkonsepkan jualan langsung.
Ciri-Ciri Skim
1.0 Institusi Kewangan yang Dilantik
Institusi kewangan yang dilantik adalah bertanggungjawab sebagai pengurus dana bagi Skim Belia Negara dan Skim Belia Tani dan bank-bank yang terlibat ialah :
  • Bank Kerjasama Rakyat Malaysia untuk Skim Belia Niaga (SBN)
  • Bank Pertanian Malaysia untuk Skim Belia Tani (SBT)
2.0 Had Pinjaman
Had pinjaman yang telah dipersetujui antara Kementerian Belia dan Sukan dengan pihak bank bagi kedua-dua skim adalah dari nilai minima RM5,000.00 sehingga maksima RM50,000.00.
3.0 Kadar Bayaran
Kadar bayaran perkhidmatan yang dikenakan bagi kedua-dua skim SBN dan SBT adalah empat 4% setahun dengan berdasarkan kepada baki pinjaman.
4.0 Yuran Proses
Yuran proses akan dikena dan ditetapkan oleh kedua-dua institusi kewangan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dan Bank Pertanian Malaysia yang telah dilantik oleh KBS.
5.0 Kos Guaman Dan Insurans
Segala kos guaman bagi penyediaan surat cara pinjaman dan insurans akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak peminjam dan bukan di bawah kuasa pihak bank atau Kementerian Belia dan Sukan.
6.0 Pengeluaran Pinjaman
Pengeluaran pinjaman menerusi institusi kewangan yang dilantik akan dibuat berdasarkan keperluan peminjam dan dibuat secara sekaligus atau berperingkat-peringkat.
7.0 Kutipan Bayaran Balik Pinjaman
Kutipan bayaran balik pinjaman akan dilakukan menerusi institusi kewangan yang dilantik dan tempoh bayaran balik pertama pinjaman dibuat mengikut ketetapan oleh institusi kewangan yang dilantik.
8.0 Tempoh Pinjaman
Had maksimun yang telah ditetapkan untuk tempoh bayaran semula pinjaman bagi kedua-dua Skim Belia Negara dan Skim Belia Tani adalah sehingga 7 tahun.
Bagi mereka-mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Tabung Ekonomi Belia ini, pendaftaran perlulah dilakukan terlebih dahulu melalui laman sesawan portal MPEB atau secara manual dengan mengisi borang yang boleh didapati di Pejabat Belia dan Sukan Negeri dan Daerah dan menghantar semula borang yang telah lengkap diisi ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri atau Daerah. Setiap permohonan yang dihantar akan mengambil masa lebih kurang 2 bulan setengah untuk diproses secara teliti dan keputusan permohonan akan dikeluarkan selepas itu.
Harapan Kerajaan
Apa yang pasti, pihak kerajaan pada hari ini begitu giat menjalankan usaha untuk membantu golongan belia melalui program-program keusahawanan. Ini kerana, bidang keusahawanan dilihat sebagai satu bidang yang dapat memberi pulangan lumayan kepada para usahawan sekiranya diusahakan dengan cara yang betul dan bijak. Pihak kerajaan juga telah memperuntukkan jutaan ringgit bagi memastikan ada peluang yang dibuka untuk golongan belia pada hari ini mencuba nasib dalam aktiviti perniagaan.
Langkah yang diambil oleh kerajaan ini juga adalah salah satu cara untuk menyelamatkan golongan belia daripada krisis pengangguran yang begitu hebat melanda negara. Selain itu, Tabung Ekonomi Belia juga memberi ruang kepada para belia melakukan aktiviti yang lebih berfaedah dan dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak iaitu golongan belia dan pihak kerajaan. Berapa ramai pada hari ini remaja dan belia yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti merempit, penyalahgunaan dadah, masalah pembuangan bayi, pergaulan bebas, dan kebejatan akhlak.
Melihat akan hal inilah, kerajaan memutuskan untuk memberi sesuatu yang berharga dan boleh mendatangkan manfaat bukan hanya kepada golongan belia. Golongan belia seharusnya sedar dan mengambil peluang keemasan ini untuk memajukan diri dan juga keluarga yang secara tidak langsung dapat memberi sumbangan kepada bangsa dan juga negara. Apa yang ditawarkan oleh pihak kerajaan ini tidak mendatangkan kerugian sekiranya digunakan dengan baik dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar memberi pembiayaan, pihak kerajaan terutama Kementerian Belia dan Sukan melalui Skim Tabung Ekonomi Belia sedia memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada para belia yang berminat untuk menceburi lapangan perniagaan. Oleh itu, diharapkan agar usaha pihak kerajaan untuk menyelamat dan mengangkat golongan belia ke satu tahap yang lebih cemerlang disambut baik oleh semua pihak terutama golongan belia. Semoga bidang keusahawanan terus menjadi pilihan para belia negara.

Rahsia Kejayaan Air Asia


Air Asia ditubuhkan pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada tahun 1996. Diasaskan pada awalnya oleh syarikat kepunyaan kerajaan iaitu DRB-HICOM. Pada tahun 2001, syarikat yang dibebani dengan hutang yang amat banyak telah diambil alih oleh Tony Fernandes melalui syarikatnya Tune Air Sdn Bhd. Beliau merupakan bekas eksekutif syarikat Tune Warner Tune Air Sdn Bhd adalah nama yang diguna pakai selepas Tony pengambil alihan pada harga token RM1.00. Sejak diambil alih, Air Asia telah berjaya merekod dan meraih pelbagai anugerah serta bersaing sengit dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain termasuk MAS Berhad. Hanya dalam masa satu tahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya menyelesaikan masalah beban hutang syarikat. Beliau telah berjaya membaiki prestasi Air Asia dan merekodkan keuntungan.
Hub pertama yang dilancarkan oleh Air Asia ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di hub pertama, Air Asia memperkenal banyak laluan penerbangan yang baru dengan tawaran harga yang amat murah. Hub kedua pula mula beroperasi pada tahun 2003 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang berdekatan dengan Singapura. Laluan luar negara pertama yang dilancarkan oleh Air Asia berjaya melonjakkan namanya di sana. Namun jika cabaran untuk bersaing tidak disahut dengan formula yang bersesuaian untuk berjaya, Air Asia pasti akan kecundang. Tony Fernandes merupakan tokoh yang amat berwibawa dalam menentukan nama Air Asia kekal berjaya di Asia dan mula menempah nama di rantau yang lain.
Secara amnya, Air Asia berjaya mencatat kejayaan demi kejayaan kerana pihak pengurusan dibawah pimpinan Tony Fernandes mengamalkan sistem pengurusan kos yang efektif. Dalam banyak hal, kos yang rendah amat diutamakan. Air Asia pada awalnya memulakan operasinya dengan kos yang rendah jika dibandingkan dengan pesaing yang terdekat MAS. Strategi menurunkan kos permulaan perniagaan ialah dengan membeli kapal terbang terpakai. Kapal terbang terpakai sudah semestinya berharga lebih murah daripada kapal terbang yang baru. Ini adalah strategi awal. Setelah syarikat sudah mencatat keuntungan dan mempunyai dana yang lebih, kapal terbang yang dibeli pada peringkat awal ini diganti dengan kapal terbang baru secara berperingkat. Selain kos permulaan, kos operasi dan kos harian seperti gaji kakitangan, bayaran untuk kapal terbang mendarat dan sebagainya juga dikenal pasti sebagai komponen kos yang perlu diuruskan pada tahap yang rendah juga.
Bagaimanakah pula Air Asia berjaya mengurangkan kos penggajian kakitangannya termasuk juruterbang? Kos juruterbang pada kebiasaannya merupakan salah satu komponen kos yang paling tinggi yang perlu dibelanjakan oleh pihak syarikat penerbangan. Pihak pengurusan Air Asia walaubagaimanapun berjaya melakukan yang sebaliknya. Terdiri daripada kumpulan pengurusan yang sangat bijak untuk mengambil peluang, Air Asia bertindak ketika syarikat lain mengalami tempoh perniagaan yang sukar. Banyak syarikat penerbangan lain memecat juruterbang-juruterbang mereka akibat peristiwa 11 September 2001. Selepas kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan tidak dapat menanggung kos operasi kerana ramai orang tidak berani untuk membuat perjalanan menaiki kapal terbang kecuali segelintir sahaja atas sebab terpaksa atau kecemasan. Banyak syarikat penerbangan yang lain terpaksa memberhentikan laluan penerbangan yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Oleh sebab itu, ramai juruterbang hilang punca pendapatan akibat dibuang atau kurang melakukan penerbangan. Air Asia mengambil peluang ini dan menawarkan peluang kerja kepada juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ini untuk berkhidmat dengan mereka. Akan tetapi Air Asia mempunyai kuasa yang lebih pada waktu itu kerana skim atau pakej penggajian yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah daripada syarikat penerbangan pesaing. Juruterbang yang terdesak untuk bekerja akan menerima tawaran Air Asia walaupun pakej penggajian tidak begitu menarik.
Walaubagaimanapun, Air Asia akan memberi inisiatif dalam bentuk lain kepada kakitangan mereka. Ianya berdasarkan kecemerlangan prestasi kerja berbanding satu pakej yang sama rata. Kos juga dikurangkan dari segi struktur penggajian kerana Air Asiamengamalkan sistem pelbagai tugas untuk satu kakitangan. Seorang kakitangan yang mengendalikan kaunter daftar masuk akan juga menguruskan pelanggan semasa hendak menaiki kapal terbang. Kakitangan ini jugalah yang akan meguruskan lain-lain urusan mengemaskini rekod dan sebagainya. Oleh itu tiada duplikasi kerja dan tiada pembaziran tenaga kerja. Kos berkaitan kakitangan diuruskan dengan sangat berkesan dan efektif. Pihak Air Asia akan memastikan kos dapat dikurangkan selagi ianya tidak melanggar mana-mana syarat atau undang-undang buruh dan sebagainya.
Kos penjualan tiket merupakan satu lagi komponen kos yang amat dititik beratkan oleh pihak Air Asia. Di zaman teknologi maklumat yang canggih, hampir setiap orang terlibat dengan kemajuan internet. Masing-masing teruja dan menganggap sesiapa yang tidak arif tentang penggunaan internet merupakan golongan yang tertinggal. Merebut peluang ini, Air Asia mengambil langkah untuk menawarkan cara pembelian tiket penerbangan melalui internet secara atas talian. Tindakan ini adalah untuk mengurangkan kos operasi pengendalian kaunter tiket dan sebagainya. Dengan Air Asia, pelanggan tidak perlu menelefon atau pergi ke kaunter tiket. Mereka boleh membuat tempahan secara atas talian. Pelanggan juga sebenarnya tidak dibebani dengan kos-kos seperti kos pengangkutan untuk ke kaunter tiket dan sebagainya. Oleh sebab itu, lebih ramai yang menggemari sistem pembelian secara atas talian dan ini menambahkan jualan dan seterusnya prestasi perniagaan Air Asia.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa kos untuk menerbangkan sebuah kapal terbang dan membuat pendaratan di sesebuah lapangan terbang adalah berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Jika syarikat MAS menawarkan laluan penerbangan dan mendarat kapal terbangnya terus ke Hong Kong, Air Asia pula menerbangkan kapal terbangnya ke Macau. Kos yang dikenakan untuk penerbangan dan mendaratkan kapal terbang ke Hong Kong dan Macau sangat berbeza. Jurang kos yang amat besar. Dengan kos penerbangan dan mendarat kapal terbang yang rendah, Air Asiadapat menurunkan harga tiket untuk menarik ramai orang membeli daripada Air Asia. Pelanggan masih boleh ke Hong Kong tetapi berbelanja dengan lebih jimat.
Penjenamaan adalah juga merupakan satu komponen yang dititik beratkan oleh Tony Fernandes untuk membawa Air Asia ke tahap yang tinggi serta mampu bersaing dengan syarikat penerbangan gergasi yang lain. Air Asia mengamalkan kaedah kerja yang lebih fokus untuk memberi peluang kepada setiap orang supaya mereka mampu terbang dengan Air Asia. Ianya bermula dengan misi menawarkan harga tiket yang amat rendah sehingga RM1.00 untuk menarik perhatian ramai. Kaedah siapa cepat dia untung adalah prinsip penjualan tiket yang digunakan. Jika anda membeli tiket untuk penerbangan sebulan dari tarikh pembelian, kemungkinan besar anda akan dapat membeli tiket pada harga yang lebih rendah berbanding jika tempoh perjalanan yang lebih dekat dengan tarikh pembelian tiket.
Kaedah penjualan tiket yang tidak serata dari segi harga dan sebagainya membolehkan Air Asia memastikan hampir setiap penerbangan adalah dengan kapasiti penumpang yang penuh. Produk makanan dan lain-lain pula disediakan kepada sesiapa yang membuat pembelian sahaja. Dengan cara ini, Air Asia akan hanya membuat tempahan mengikut pembelian oleh pelanggan. Tiada pembaziran berlaku!  Pengurusan pembaziran yang cekap adalah satu strategi yang bijak untuk merekodkan kejayaan Air Asia.
Dari segi penjenamaan pula, Tony Fernandes bijak menggunakan pengalaman beliau untuk membuat pemasaran yang strategik dan bekerjasama dengan orang kuat Virgin iaitu Sir Richard Branson. Air Asia X dimulakan hasil kerjasama dengan Virgin. Kesinambungan kerjasama ini dapat dilihat dengan kejayaan Air Asia menawarkan penerbangan ke negara-negara Eropah seperti United Kingdom,Perancis dan lain-lain. Bermula sebagai jaguh kampung dan menerbangkan pelanggan sekitar destinasi domestik, Air Asia sekali lagi mengambil peluang untuk maju dalam penerbangan ke destinasi di luar negara. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk membuahkan hasil, segala usaha yang dibuat untuk penjenamaan adalah atas berkat kesabaran Tony Fernandes.
Masalah dan rintangan merupakan asam garam dunia perniagaan.Air Asia juga tidak terkecuali daripada mendapat kritikan daripada banyak pihak apabila pengurusan jadual penerbangan yang selalu mengalami kelewatan dan sebagainya. Tetapi pihak pengurusan Air Asia tidak berdiam diri begitu sahaja. Segala kritikan dan rungutan akan dibawa ke pihak atasan untuk rundingan dan perbincangan lanjut serta mencari jalan penyelesaian. Penambahbaikan sentiasa diamalkan sehingga segala rungutan dan kritikan dapat diatasi. Pada waktu ini, setelah lebih sepuluh tahun beroperasi, Air Asia mampu berdiri tegak dan megah dengan keupayaan mereka untuk menangani masalah tersebut.
Sabar adalah asas untuk berjaya walaupun tahap perniagaan anda sudah berada tinggi seperti Air Asia. Tony Fernades pernah mengeluarkan ucapan bahawa pihaknya sudah mencuba dan menunggu berthaun-tahun untuk mendapat sesuatu laluan penerbangan. Mereka tidak berputus asa dan akhirnya berjaya mendapatkan hak laluan yang mereka inginkan.  Begitu juga dengan hasrat Air Asia untuk membeli satu pasukan bola sepak di United Kingdom. Mereka tidak berputus asa dan terus mencuba. Rundingan demi rundingan dijalankan dan akhirnya pada tahun 2011, Air Asiaberjaya membeli satu pasukan bola sepak. Mengapakah langkah ini penting? Ia merupakan salah satu strategi kearah penjenamaan serta cara untuk syarikat penerbangan ini mengorak langkah untuk menembusi pasaran di Eropah pula. Apabila jenama Air Asia sudah sebati dengan peminat pasukan bola tersebut, sekali gus rakyat diUnited Kingdom akan mengenali Air Asia sebagai satu jenama yang perlu dipilih. Inilah peluang keemasan yang Air Asia nantikan!
Air Asia juga menawarkan servis sampingan yang dirasakan perlu untuk pelanggan-pelanggannya. Air Asia sangat prihatin terhadap permintaan atau kehendak pelanggan. Tunes Hotel disediakan untuk mereka yang memerlukan tempat penginapan yang asas semasa mereka dalam perjalanan. Air Asia menawarkan khidmat penginapan dengan kadar yang rendah terutama kepada kepada sesiapa yang sudah membeli tiket penerbangan Air Asia. Satu pakej yang menguntungkan kedua belah pihak.
“The more you give, the more you will get” adalah pepatah yang diamalkan oleh pihak Air Asia. Banyak bantuan kewangan yang telah dihulurkan oleh syarikat untuk mengurangkan bebanan golongan miskin dan sebagainya. Dari segi pertolongan yang tidak mengeluarkan wang secara terus pula, Air Asia boleh dikatakan agak aktif untuk menghulurkan bantuan penerbangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di negara yang ditimpa bencana seperti di Indonesia atau krisis perang saudara seperti di negara Teluk dan sebagainya.  Mereka percaya pulangan yang akan diperolehi daripada keprihatinan mereka ini akan datang pada bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk.