Wednesday, 28 November 2012

Peneroka dapat durian runtuh


Dato’ Seri Utama Shahrir menyampaikan cek bayaran SITS kepada Pengurus Rancangan FELDA Ulu Penggeli. Turut
kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Ahmad Sidek Stroo (kiri).
Dato’ Seri Utama Shahrir menyampaikan cek bayaran SITS kepada Pengurus Rancangan FELDA Ulu Penggeli. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Ahmad Sidek Stroo (kiri).
KLUANG: Peneroka dari enam Rancangan FELDA di Johor, iaitu Felda Ulu Penggeli, Ulu Dengar, Inas Utara, Taib Andak, Bukit Permai dan Sri Ledang menerima cek bayaran rayuan Skim Insentif Tanam Semula (SITS). 

Cek bayaran disampaikan Pengerusi MPOB, Dato’ Seri Utama Shahrir Abdul Samad di Dewan Semai Bakti FELDA Ulu Penggeli baru baru ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah MPOB (Perkhidmatan), Ahmad Sidek Stroo.
Shahrir ketika berucap pada majlis penyampaian cek berkata, insentif ini bertujuan menggalakkan pekebun kecil menebang pokok sawit tua bagi menanam dengan benih berpenghasilan tinggi.
Bantuan SITS yang disalurkan kerajaan melalui MPOB menyediakan bayaran RM1,000 sehektar untuk tempoh 1 Disember 2008 hingga Jun 2009 kepada penanam sawit yang menebang pokok sawit tua. 

Memandangkan terdapat penanam yang menebang di luar tempoh itu tidak layak menerima SITS, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama MPOB menerima banyak rayuan daripada penanam sawit termasuk peneroka Felda. 

“Atas dasar ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersetuju meluluskan permohonan rayuan skim itu terutama daripada pekebun kecil dan peneroka FELDA, termasuk penerima cek bayaran pada hari ini,” kata Shahrir. 

Shahrir berkata, kerajaan melalui MPOB sedang giat melaksanakan pelbagai langkah memajukan untuk meningkatkan produktiviti industri sawit bagi menjana pendapatan kepada ekonomi negara. 
Di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kerajaan mengenalpasti industri sawit sebagai salah satu Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA). 

Sebanyak lapan projek permulaan (EPP) dikenal pasti merangkumi sektor huluan dan hiliran industri sawit dilaksanakan untuk tujuan itu. Kerajaan menyasarkan industri sawit berupaya menjana RM178 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara menjelang 2020 berbanding RM52.7 bilion pada 2009. 

Pada majlis itu juga, Shahrir menyerahkan mesin penuai buah sawit bermotor (Cantas) kepada penanam sawit yang diluluskan pembelian melalui Skim Diskaun Cantas (SKIDIC). 

Pembeli yang diluluskan SKIDIC mendapat potongan harga sebanyak RM1,000 bagi setiap unit Cantas yang dibeli. 

Shahrir menggesa semua pekebun kecil mengambil peluang membeli Cantas pada harga diskaun yang ditawarkan. 

No comments:

Post a Comment