Wednesday, 28 November 2012

Dompok gesa graduan rebut kerja sektor ladang

Peluang luas bahagian pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan

KOTA KINABALU: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, menasihati graduan yang masih menganggur di negeri Sabah supaya merebut peluang membina kerjaya di sektor perladangan komoditi.
Beliau berkata, ini kerana, kerjaya di sektor ini tidak hanya terhad kepada kerja buruh tetapi mempunyai jawatan lain termasuk bahagian pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan.
Kerjaya di sektor ini tidak hanya terhad kepada kerja buruh tetapi mempunyai jawatan lain termasuk bahagian pengurusan, pentadbiran dan penyeliaan. - Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
“Banyak kekosongan kerja dalam sektor perladangan bagi graduan yang memiliki ijazah, diploma atau sijil, kerana bukan semua kerja di sektor perladangan kerja buruh.

“Oleh itu saya berharap graduan yang belum mempunyai pekerjaan merebut peluang yang ada dalam bidang perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemberian Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada sembilan pelajar baru ijazah pertama dan penyerahan sumbangan kepada 19 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah kawasan Parlimen Penampang, dekat sini, baru-baru ini.

Dompok berkata, tujuan kerajaan memberikan pinjaman pendidikan adalah untuk membolehkan pelajar meneruskan pengajian ke peringkat tinggi agar menjadi modal insan berkualiti bagi membantu pembangunan negara. 
“Ini adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk meningkatkan sumber manusia terlatih yang dapat menyumbang kepada perkhidmatan lebih berkualiti kepada pembangunan negara.

Dalam perniagaan, pelabur hanya datang ke sesebuah negara jika ada pekerja mahir. Oleh itu pelajar seharusnya memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang,” katanya. 

No comments:

Post a Comment